JURULATIH Perak FC, Mehmet Durakovic hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada skuad The Boss Gaurus, ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 bakal bermula 11 hari sahaja lagi.
Perkembangan itu disahkan pengurusan Perak FC menerusi kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook rasmi kelab tersebut, lewat petang tadi.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi berhubung penamatan kontrak pengendali berasal dari Australia itu sejak semalam.
Sejak membimbing Perak pada 2017, Durakovic, bekas pemain kebangsaan Australia membantu Perak menjulang Piala Malaysia 2018 setelah menanti selama 18 tahun, selain naib juara Piala FA 2019.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata kedua-dua pihak setuju secara bersama untuk menamatkan kontrak Durakovic sebagai ketua jurulatih.
Katanya, perkara itu diputuskan atas permintaan Durakovic sendiri yang mahu pulang ke Australia untuk menyelesaikan urusan keluarga.
“Rundingan ini telah berjalan selama lebih seminggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmet yang memilih untuk kembali ke Australia.
“la merupakan satu keputusan yang sukar dan pastinya satu kehilangan besar kepada pasukan,” katanya.
Berikutan itu, Khairul Shahril berkata atas nasihat Durakovic, pihaknya memilih Chong Yee Fatt sebagai pengganti.
“Satu rundingan bersama Kuala Lumpur United FC telah dibuat untuk membawa pulang Yee Fatt bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Perak,” katanya lagi.
Yee Fatt merupakan bekas pemain Perak bagi musim 1981-1983 dan musim 1986 serta pernah menyandang jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih bagi musim 2011-2013 dan 2017 semasa pasukan diterajui oleh mendiang Karl-Heinz Weigang. – Malaysiapost

