USAHA membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diteruskan oleh pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew dan kali ini di kawasan ibu negara pula.
Ebit memaklumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan yang memerlukan terutama gelandangan.
Menurutnya, kerjasama itu sudah dibincangkan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini.
“Perkara yang akan dilakukan bersama adalah menyediakan tapak berniaga untuk penjaja seperti Food Court dan membantu mereka dari segi dana dan lain-lain.
“Kami juga akan buat Restoren Free untuk mereka yang memerlukan dan lapar untuk makan di KL dan Putrajaya.
“Berbincang untuk membuka tempat penginapan baru untuk mereka yang bergelandangan di Kuala Lumpur,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau memohon orang ramai mendoakan agar usaha itu berjaya demi golongan miskin dan mereka yang memerlukan.
“Pohon doakan yer. Banyak perkara dibincangkan bersama Tan Sri Annuar Musa demi orang miskin dan orang yang memerlukan. Baik dan sangat rendah diri orangnya.
“Sedih sayu tadi berbual tentang orang susah. Ramai yang dah dibantu tapi ramai lagi yang masih memerlukan. Kami berbincang mengenai masalah kemiskinan dan kesusahan masyarakat kita.
“Beliau kata,ustaz tak penat ke merata sana sini dengan tenaga dan dana yang banyak. Jawab saya Tan Sri lagi penat. Saya cuma sedikit berbanding usaha kerajaan dan badan yang lain. Senyuman pada wajah orang miskin dan doa mereka sangat besar nilainya,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Annuar dan berharap Allah memberi kebaikan dan kekuatan untuk terus membantu masyarakat serta mendoakan usaha bersama itu menjadi asbab kebaikan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/ebit-lew-rai-gong-xi-fa-cai-bersama-keluarga/

