SEORANG lelaki maut dipercayai terhidu asap dalam kereta di Taman Desa Cahaya, Bukit Mertajam, malam tadi.
Mangsa berusia 31 tahun ditemui kira-kira jam 9.30 malam, dalam keadaan bersandar dan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Myvi,
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihak polis ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan bagi menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan kemudian mendapati mangsa sudah tidak bernafas malah siasatan awal juga tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang turut berada di lokasi kemudian mengambil swab peluh (DNA), pelitup muka, botol air minuman, penyala api merah timur serta satu bekas yang mengandungi bahan bakar disyaki arang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat kira-kira jam 9 pagi tadi mengesahkan tiada unsur jenayah dan punca kematian disebabkan ‘smoke inhalation’ atau terhidu asap.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -Malaysiapost

