PESAWAT membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selamat mendarat pada jam 10.07 pagi ini melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo).
Detik bersejarah itu menyaksikan vaksin kumpulan pertama tersebut tiba dengan tertera imej Jalur Gemilang di pesawat berkenaan.
Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh petugas MASKargo dan pengamal media juga berjalan lancar mengikut peraturan ditetapkan berikutan masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketibaan vaksin kumpulan pertama tersebut turut disiar secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), pagi ini.
Dengan ketibaan vaksin itu, Malaysia akan dapat memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukan di negara ini dan ia akan dilancarkan dalam tempoh lima hari lagi iaitu 26 Februari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama petugas barisan hadapan.
Fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April itu akan diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Fasa ketiga pula membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.
Pada 11 Januari lalu, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan, melalui KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.
Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang. – Malaysiapost

