Isu murtad: Beri kepercayaan kepada pihak berkuasa ambil tindakan

0
2

ORANG ramai diminta memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu video memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Muslim memurtadkan seorang wanita Islam bukan warga tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata kes itu kini dalam siasatan dan tindakan polis.

“Kedudukan agama Islam terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama lain di Malaysia, termasuk hak menganutinya dan mengamalkannya.

“Bagaimanapun, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, fasal itu memberi kuasa kepada negeri menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Ini katanya, termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar agama sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa juga cara sekalipun.

Beliau berkata, hampir semua negeri mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya difahamkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan.

“Ini antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata identiti seorang lelaki yang tular dalam media sosial baru-baru ini kerana dipercayai memurtadkan seorang wanita Islam, telah dikenal pasti.

Beliau berkata ini susulan pemeriksaan polis di sebuah rumah di Perjiranan Bandar Dato Onn di Johor Bahru, jam 9.50 malam tadi.

“Pemeriksaan itu hasil maklumat yang menyatakan terdapat sekumpulan orang awam berkumpul untuk menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki berkenaan berada di dalam premis.

“Polis telah mengawal keadaan dan hasil pemeriksaan, rumah itu hanya didiami ayah dan kakaknya manakala suspek berusia 29 tahun tiada di situ. Oleh itu, tiada tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah peruntukan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 serta Seksyen 298 dan 505 (C) Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here