Selepas 22 tahun, Everton menang di Anfield

0
2

EVERTON meraih kemenangan pertama di gelanggang Liverpool, Anfield sejak 1999 selepas menewaskan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu 2-0.

Gol pembukaan Richarlison dan penalti lewat permainan Gylfi Sigurdsson membolehkan The Toffees menewaskan Liverpool buat pertama kali selepas 24 percubaan sejak tahun 2010, lapor AFP.

Selepas 68 aksi tanpa kalah di Anfield, Liverpool yang dibelenggu kecederaan tewas empat perlawanan terakhir mereka di laman sendiri buat pertama kali sejak 1923.

“Saya amat gembira untuk kelab dan penyokong. Saya pasti mereka akan meraikannya malam ini,” kata pengendali Everton, Carlo Ancelotti.

Liverpool hanya menang dua daripada 11 perlawanan liga terakhir mereka dan kini berisiko tidak layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Kekalahan pada pertemuan pasukan berjiramMerseyside ke-238 itu lebih terasa buat Liverpool yang hilang tonggak pertahanan Virgil van Dijk di awal musim disebabkan terjahan penjaga gol Everton Jordan Pickford.

Tanpa pertahanan Belanda itu, Liverpool mengharungi deretan keputusan mengecewakan dan ia terbukti sekali lagi apabila mereka dibolosi hanya selepas 145 saat permainan bermula.

Tandukan lemah Ozan Kabak disambut James Rodriguez yang kemudian membuat umpanan untuk jaringan Richarlison.

Tambah malang buat Liverpool apabila kapten Jordan Henderson cedera pangkal paha.

Di akhir perlawanan, Dominic Calvert-Lewin dijatuhkan oleh Trent Alexander-Arnold dan Sigurdsson menyempurnakan sepakan penalti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here