KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menempelak Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) sebuah parti yang didakwa seolah-olah terdapat tugasan khas untuk dirinya mempersoal dan menyerang partinya secara terbuka.
Menurutnya, beberapa kenyataan mutakhir darinya yang tidak henti-henti menyentuh Umno dan tidak nampak pula kenyataan tentang partinya sendiri.
“Terkini, individu ini menggesa Umno untuk mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa jika Umno mahu mengumumkan atau mendedahkan sebarang keputusan, parti ini akan lakukan mengikut waktu dan garis masanya sendiri.
“Sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan dasar akan datang dari Presiden atau Setiausaha Agung.
“Gesaan terbuka melalui media untuk Umno mendedahkan perihal dalaman parti hanya membongkar kelemahan pihak yang menggesa tersebut,” ujarnya.
Difahamkan, kenyataan ini ditujukan kepada MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Menerusi laporan sebuah media, Faiz meminta Umno mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang diadakan pada Jumaat lalu.
Katanya, perkara berkenaan penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -Malaysiapost

