‘Kerajaan PN, kerajaan Covid-19’ – Zahid

0
2

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai kerajaan Covid-19, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, sejak hari pertama menguasai tampuk kerajaan pada 29 Februari tahun lalu, kerajaan PN telah memikul tanggungjawab berat untuk mengekang Covid-19 di samping memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup pada waktu sukar ini.

“Kerajaan ini kerajaan Covid-19. Segala-galanya dihubung kaitkan dengan Covid. Rakyat mahu melihat, bukan hanya sekadar bagaimana ia harus ditangani.

“Rakyat perlukan wang di dalam saku, makanan di atas meja, rakyat mahu kelangsungan hidup ditangani, ya kita akui hakikat takdir telah menentukan seluruh dunia mengalami pandemik Covid-19,” katanya dalam program Sudut Pandang bersama Malaysiapost, malam tadi.

Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kurang senang terhadap kegagalan kerajaan PN memastikan pelabur asing kekal melabur di Malaysia, yang mengakibatkan kadar penggangguran rakyat terus meningkat ketika pandemik Covid-19 masih berlarutan.

“Tetapi bolehkah kita menerima hakikat bahawa pelaburan langsung asing (FDI) kita, pelabur-pelabur asing di negara kita ‘mencabut’ pelaburannya dan dipindahkan ke sebuah negara lain di rantau Asean.

“Bagaimana 700,000 lebih pengangguran berlaku, bagaimana 232,000 siswazah menganggur, dan peratus pengangguran Alhamdulillah sejak merdeka inilah paling tinggi dan inilah pencapaian terbaik iaitu 4.8 peratus,” katanya sinis.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan kerajaan PN harus memberi tumpuan membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ini.

Namun malangnya, kata Ahmad Zahid, suara rakyat telah dinafikan di Parlimen kerana pergantungan persidangan Dewan Rakyat susulan perlaksanaan proklamasi darurat pada 13 Januari lalu yang telah membantutkan usaha wakil rakyat untuk terus membela nasib rakyat.

“Dan tentunya kita harus melihat bahawa aspek ekonomi ketika ini harus didepani dan bagaimana pertumbuhan ekonomi dan perubahan ekonomi pasca Covid, iaitu ketika Covid hampir selesai dan Insyallah tamat, saya tidak tahu bila tempohnya sebab kita sering dingiangkan bahawa kita harus hidup dalam norma baru.

“Ya kita terima hakikat norma baru, tapi rakyat mahu makan, jumlah gerai lebih banyak daripada yang datang ke gerai. Kedai-kedai runcit, sektor perkilangan, industri perlancongan, sektor yang dipanggil sebagai hospitaliti tidak pun diberikan kepedulian.

“Saya adalah sebahagian daripada kerajaan tetapi oleh kerana Parlimen tidak bersidang maka jangan disekat suara rakyat yang saya menjadi lidahnya, suara saya adalah nadi kepada rakyat dan ramai lagi kawan kawan yang lain menyebutkan perkara ini sebab kalau bukan kita yang menyuarakan suara rakyat, siapa lagi? ,” soalnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid  juga menyokong tindakan  Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempertikaikan pergantungan Parlimen dengan menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun beberapa hari lalu.

“Siapa lagi sepatutnya wakil rakyat duduk di Parlimen menyuarakan suara dan nadi rakyat apabila demokrasi telah dikafankan atau sekurang-kurangnya telah disemadikan maka apakah suara rakyat harus ditutup kerana kita bukan mulut tempayan dan kita harus mengetahui bahawa rakyat harus diutamakan dalam keadaan apa sekalipun.

“Apabila timbalan speaker menulis surat kepada peguam negara, bukan sahaja daripada aspek perundangan dan politik, tetapi itulah adalah suara rakyat yang disalurkan oleh beliau melalui pemikiran beliau. Dan tentunya dalam perkara ini apabila beliau mengkehendaki dan meminta supaya parlimen harus bersidang.

“Kenapa Parlimen tidak boleh bersidang? Pasar malam dibuka, supermarket dan juga mall juga dibuka,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here