Umno sambut baik lebih banyak surau, masjid dibenarkan beroperasi

0
1

UMNO menyambut baik pengumuman masjid dan surau di kebanyakan negeri yang telah dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno menghormati dan menyanjung tinggi Tuanku Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat orang Melayu dalam menentukan pembukaan masjid dan surau, serta jumlah jemaah yang dibenarkan.

“Saya fikir umat Islam sememangnya patuh SOP kerana bahawasanya keselamatan diri, nyawa dan kesihatan itu juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.

“Namun kita berdoa agar suatu hari nanti masjid dan surau akan dibuka sepenuhnya dengan ditambah baik SOP supaya lebih ramai dan lebih mudah untuk umat Islam melakukan ibadah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata rumah Allah tidak boleh dibiar sepi dan wajar diimarahkan, tetapi pada masa sama maslahah awam berkaitan keselamatan dan nyawa seperti ditekankan maqasid syariah terus dipelihara.

“Selain pelbagai usaha yang kita lakukan untuk menangani penularan wabak Covid-19, pengabdian kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya jangan dilupakan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut melahirkan rasa syukur kerana banyak sektor ekonomi telah dibuka, termasuk pasar malam yang memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki.

“Bagi saya Alhamdulillah pasar malam telah dibuka kerana nasib para peniaga pasar malam antara yang saya pernah ketengahkan.

“Seperti saya katakan sebelum ini kita menuntut SOP ketat untuk tempoh tertentu supaya kes jangkitan Covid-19 dapat diturunkan segera.

“Bagaimanapun itu tidak berlaku. Rakyat tidak dibantu supaya mereka dapat kekal tenang di rumah, maka perlu meneruskan aktiviti untuk menyara hidup,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here