Tergamak anak tinggalkan ibu berkerusi roda tepi jalan, tak mahu jaga lagi

0
1

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menyelamatkan seorang wanita warga emas berkerusi roda yang ditinggal berseorangan di tepi jalan bersama lampin pakai buang dan beg pakaian.

LZS menerusi pertama di Facebook memaklumkan Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat menerima maklumat dari orang awam yang terjumpa wanita berkenaan.

“Mereka segera turun pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini. Hasil siasatan mendapati wanita itu merupakan asnaf fakir, dan masih mempunyai keluarga.

“Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan,” katanya.

Menurut LZS, oleh kerana keadaan warga emas itu yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, mereka terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib.

“Polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka.

“Anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu ini kembali,” katanya.

Bagaimanapun, menurut LZS, sekitar jam 3 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi.

Justeru, katanya, polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya”. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya.

“Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor,” kata LZS.

LZS menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan maklumat tersebut.

“Terima kasih juga buat Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.

“Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here