KKM pantau rapat kesan vaksin Pfizer-BioNtech

0
1

KESELAMATAN dan kesihatan rakyat kekal keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan sentiasa memantau kesan penggunaan vaksin Pfizer-BioNtech.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin Pfizer-BioNtech telah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah ia digunakan.

“Kriteria lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat ini antaranya adalah vaksin telah berdaftar dan diberi ‘emergency use authorization’ oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“KKM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia dengan memantau dan meneliti semua ubat-ubatan termasuk vaksin yang diperolehi,” catatnya di Facebook, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, vaksin keluaran Pfizer-BioNtech adalah vaksin Covid-19 yang pertama diberi kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021.

“Di antara kriteria yang diteliti oleh PBKD dan NPRA adalah profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin, dan vaksin yang mempunyai nilai efikasi yang baik untuk digunakan untuk kesemua rakyat Malaysia.

“Pendaftaran bersyarat ini diberi bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin Covid-19 semasa tempoh pandemik ini menggunakan ‘risk-based approach’, tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya.

Vaksin Covid-19 yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia, selamat tiba dengan pesawat khas membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here