
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus menghentikan keputusan membuka dan menutup sekolah secara sela menyela (flip flop), kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, ia sangat menyusahkan pelajar, ibu-bapa dan guru-guru, apatah lagi kebanyakan ibu bapa telah bergolok bergadai untuk membeli pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara dalam talian.
“Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar.
“Kerajaan pula baru sahaja melancarkan DidikTV bagi maksud menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang kemana halatuju sebenar mod pendidikan digital KPM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata KPM wajar memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya dari wabak covic19 ini.
“Mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan kita menangani dampak wabak ini sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah adalah sangat mustahak.
“Pendidikan anak-anak kita adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan menjadi kucar kacir dengan keputusan secara sela menyela sebegini,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka secara berperingkat bermula Mac depan.
Untuk sesi persekolah bagi murid sekolah rendah akan bermula pada 1 Mac dan 8 Mac 2021, manakala bagi pelajar sekolah menengah persekolahan bermula selepas tamat cuti pertengahan penggal, iaitu 5 April. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/sesi-persekolahan-bermula-mac-depan/
https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/didiktv-tumpu-pembelajaran-pelajar-sekolah-menengah/
