Nurul Huda Abhar
IKON berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berkongsi kisahnya diketawakan oleh warga Malaysia kerana tersilap menyebut perkataan dalam bahasa Inggeris ketika menghadiri satu majlis di Melbourne.
Menurutnya, ketika hadir majlis bersama komuniti Melayu di ‘negara kanggaru’ itu pada 2007, kebanyakan yang hadir adalah mereka yang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PHD).
“Entah macam mana our conversation adalah berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua ni lah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kite sebut Gen2 adalah ‘Jen Tu’ kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut ‘Jen’ untuk merujuk kepada ‘Gene’
“Terus saya digelakkan oleh dua pelajar PHD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan letak tangan ke dahinya dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang tengah minum air sirap merah,” tulisnya di Facebook, hari ini.
Azizulhasni berkata, situasi berlainan jika berada dalam kalangan warga barat yang tidak sesekali merendahkan-rendahkan kelemahan orang lain dari segi pertuturan dalam bahasa Inggeris.
Beliau yang mempunyai pengalaman luas bertanding dan berlatih di luar negara sangat kagum dengan sikap warga barat yang menghormati orang lain walaupun tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa antarabangsa itu.
“Dan di kalangan rakan-rakan Mat Salleh saya, ada antara mereka yang grammar berterabur juga walaupun lahir dalam keluarga Mat Salleh. Ada juga tidak fasih mengeja dan mereka siap rujuk kepada saya untuk ejaan.
“Pengalaman mengembara seluruh dunia dan khususnya ketika berada di Sukan Olimpik, di situ ada pelbagai bangsa dari pelbagai negara, siap ada negara yang kita tak pernah tahu kewujudannya.
“Apabila berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, mereka juga mempunyai kesulitan untuk memahami loghat masing-masing, tetapi mereka ni tetap menghormati antara satu sama lain dan inilah contoh yang kita perlu pelajari,” ujarnya.
Beliau juga berkata tidak berniat untuk mempertahankan mereka yang membuat kesalahan ketika bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi jangan memperlekeh dan merendahkan orang lain atas sebab itu.
Katanya, bagi individu yang fasih dalam berbahasa Inggeris pula perlu membantu mereka yang kurang mahir.
“Kalau kita lihat dari segi pembangunan negara, kita sudah tidak jauh untuk mencapai status ‘Developed Country’ akan tetapi jika kita lihat dari segi sikap dan mentaliti pula, saya minta maaf, kita masih sangat jauh di belakang.
“Never make fun of someone who speak broken English. It means they know another language,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/azizul-impi-dapat-memasak-dengan-tuanku-permaisuri-agong/

