Sekolah dibuka: Utamakan vaksin kepada guru

0
1

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan kepada guru sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata ini bagi memastikan keselamatan guru sebagai barisan hadapan utama negara dalam sektor pendidikan, seterusnya mengurangkan risiko jangkitan kepada guru dan pelajar di sekolah.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) harus diberi kuasa autonomi dalam membuat keputusan sama ada sekolah harus dibuka atau sebaliknya dengan menimbang kepada keperluan dan kesediaan sesuatu lokaliti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Farhan berkata tanpa menolak peri penting sekolah harus dibuka semula, PKPIM bagaimanapun berasa janggal pengumuman pembukaan sekolah dibuat tidak lama selepas pelancaran Didik TV pada Rabu lalu.

Beliau berkata, PKPIM memahami kesan penangguhan pembukaan sekolah di seluruh negara apabila ramai pelajar, ibu bapa dan guru bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk meneruskan sesi pembelajaran di rumah (PdPR).

Ini katanya, termasuklah menggunakan duit simpanan untuk membeli gajet demi kelangsungan sesi PdPR di rumah.

“Justeru, PKPIM mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak KPM:

i) KPM perlu memperbanyakkan sesi libat urus bersama pemegang taruh pendidikan seperti badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengelakkan blanket decision oleh pihak kementerian.

ii) Menimbang kewajaran penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan atau Jawatankuasa Bipartisan Parlimen mengenai pendidikan bagi menyemak semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sebagai persediaan menghadapi kesan semasa dan selepas pandemik Covid-19.

iii) Meneliti semula takwim persekolahan bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran tidak terganggu di samping mencari suatu silibus kurikulum yang lebih fleksibel buat pelajar ketika mengikuti pembelajaran dalam tempoh pandemik ini.

Mengulas lajut, beliau berkata pendidikan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak, justeru PKPIM berharap KPM bersedia membuka ruang usaha kerjasama yang lebih padu, holistik dan kolaboratif.

“Ini termasuk duduk semeja dengan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menangani krisis pendidikan pasca pandemik ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/vaksin-covid-19-beri-keutamaan-kepada-warga-emas-oku/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here