Kebebasan akhbar mesti dipertahan – Tok Mat

0
1

Nurul Huda Abhar

HIDUPNYA demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, akhbar bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat, malah ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal masyarakat dan negara.

“Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberi pandangan alternatif atau idea baharu.

“Justeru, kebebasan akhbar dan bersuara ‘serves a high public purpose’,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia harus menuju ke arah masyarakat madani yang bebas bersuara secara matang, progresif dan jujur.

Katanya, bagi merealisasikan cadangan itu, ia hanya dapat dilakukan dengan akhbar yang bebas, bertanggungjawab, dan mempunyai ketelusan dalam hal ekonomi serta pasaran.

“Kerajaan akan menjadi lebih ‘accountable’, segala salah guna kuasa dan kejelikan moral akan terbongkar dan inspirasi tercetus melalui cerita kemanusiaan yang mengagumkan,” katanya lagi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dilaporkan menjatuhi hukuman denda RM500,000 terhadap portal Malaysiakini atas pertuduhan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.

Susulan itu, portal berkenaan merayu orang ramai untuk membantu mengumpulkan RM500,000 bagi membayar denda berkenaan yang diarahkan dibayar selewat-lewatnya 24 Februari ini.

Hanya dalam masa empat jam, portal itu berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai bagi membayar denda tersebut.

Portal berkenaan melalui ciapan di Twitternya memaklumkan tabung mengumpul dana bagi membayar denda RM500,000 itu ditutup selepas kutipan melebihi jumlah diperlukan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here