SINDIKET mencampurkan dadah dalam jus minuman terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM77,318 di kondominium di Lebuh Sungai Pinang 2, Jelutong, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Lelaki berusia 20 tahun itu menjadikan rumah disewa abangnya sebagai tempat memproses dadah dalam jus minuman berkenaan dan menghantarnya kepada pelanggan dengan upah antara RM500 hingga RM800 setiap kali selesai penghantaran.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata dalam kejadian Rabu lalu suspek ditahan pada jam 2.40 pagi di lobi kondominium dan pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik mengandungi 15 paket berwarna hitam yang setiap satunya berisi serbuk disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Katanya, polis kemudian menyerbu rumah suspek di kondominium itu dan turut menahan teman wanita lelaki terbabit berusia 21 tahun yang ada dalam rumah itu.
“Turut ditemukan dalam rumah berkenaan adalah peralatan bagi memproses campuran dadah jenis MDMA dengan minuman pelbagai perisa.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek tidak bekerja itu didapati negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media, hari ini.
Soffian berkata, siasatan mendapati, suspek yang bertindak sebagai penghantar bekalan hanya menerima arahan menerusi aplikasi ‘WeChat’ dan tidak mengenali pemberi arahan terbabit.
Katanya, selepas menghantar bekalan, wang yang diterima daripada pelanggan akan diserah kepada ‘pemberi arahan’ menerusi pelbagai cara di lokasi tertentu dan suspek menerima upah antara RM500 hingga RM800 setiap kali selesai penghantaran.
“Bungkusan paket berkenaan dibuka dan diisi semula dengan ‘jus dadah’ mengikut perisa dan permintaan pelanggan di pasaran Pulau Pinang.
“Sindiket berkenaan dipercayai bermula sejak bulan lalu dan rumah terbabit adalah unit disewa abang suspek,” katanya.
Polis turut merampas sebuah kenderaan dan wang berjumlah RM1,100 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM136,918.
Soffian berkata, polis sedang mengesan abang suspek dan seorang lagi lelaki yang bertindak memproses serta membungkus dadah berkenaan, namun kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak mengenalinya.
“Individu berkenaan dipercayai memproses bekalan di unit kediaman itu pada waktu tertentu ketika kedua-dua suspek tiada di rumah.
“Suspek dan teman wanitanya itu direman enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. -Malaysiapost

