Pengasas Sugarbook rela direman seminggu

0
3

PENGASAS Sugarbook rela ditahan reman bagi membuktikan aplikasi itu tidak menyalahi undang-udang.

Lelaki berusia 34 tahun itu membuat keputusan tersebut selepas berbincang dengan tiga peguam iaitu T Shashi Devan, Foong Cheng Leong dan Low Li Qun.

Shashi Devan berkata, pihaknya melakukan perbincangan dan anak guamnya bersetuju ditahan reman tujuh hari kerana mahu memberi kerjasama dengan membekalkan maklumat diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, anak guamnya berhasrat membantu siasatan polis dan penahanan reman adalah platform untuk membuktikannya tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang.

“Anak guam saya memberi kerjasama supaya siasatan lengkap dapat dilakukan dan tidak perlu penahanan lanjut.

“Malah, saya juga memohon timbang rasa polis untuk tidak menggari tangan anak guam di belakang berikutan mengalami masalah kesihatan berkaitan bahu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, dalam prosiding semakan permohonan reman yang berlangsung kira-kira 15 minit bermula jam 10.26 pagi, Hakim Datuk Noorin Badaruddin membenarkan reman terhadap usahawan itu selama tujuh hari sehingga 24 Februari ini.

Permohonan semakan itu dikemukakan pihak pendakwaan susulan reman terhadap lelaki terbabit ditolak mahkamah semalam.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Semakan permohonan reman itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.

Sementara itu, Muhamad Iskandar berkata, permohonan semakan reman tersebut tidak mendapat bantahan.

“Mereka bersetuju dan terdapat beberapa perkara mendapat perhatian hakim antaranya membenarkan lelaki terbabit tidak digari di belakang dan dibenarkan menukar pakaian,” katanya.

Semalam, media melaporkan pengasas aplikasi Sugarbook yang ditahan kelmarin dibebaskan selepas mahkamah menolak pemohonan reman terhadap lelaki terbabit.

Penolakan permohonan reman itu dilakukan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/pengasas-sugarbook-ditahan-semula-untuk-siasatan-kes-rogol-pelacuran/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here