Sayang Umno: Tun M kembali buat ‘U-turn’ paling drastik – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali membuat ‘pusingan U’ susulan kenyataannya yang masih sayang dan sedia kembali kepada parti itu.

Menurutnya, jika dahulu pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyuruhnya membubarkan Umno tetapi kini mahu kembali namun dengan bersyarat.

“Siapa masih ingat juga Tun Mahathir pada 9 November 2019 mengaku menyuruh saya membubarkan Umno kerana Umno dianggap sudah tiada.

“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘U-turn’ paling drastik menyatakan beliau masih sayang Umno dan bersedia kembali kepada Umno.

“Tetapi kononnya dengan syarat Umno perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, bagaimana perasaaan penyokong dan pemimpin Pejuang yang lain apabila mendengar pengasas parti mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Katanya, rakyat dan ahli Umno sendiri boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan parti Bersatu membuat pusingan U setajam itu.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri ke-7.

“Presiden Bersatu telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak luluskan pendaftaran parti baharunya.

“Makanya perlu cari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata syarat yang diletakkan Dr Mahathir hanya sekadar alasan kerana Umno sehingga kini masih tidak beralih dari dasar perjuangannya.

Ahmad Zahid berkata, ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak bekas Perdana Menteri itu kembali kepada parti keramat berkenaan.

Katanya, ataupun itu adalah strategi sama yang Ahli Parlimen Langkawi itu gunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli Umno bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

“Sejarah 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.

“Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno ketika itu,” ujarnya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/18/dulu-suruh-bubar-sekarang-sayang/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here