PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan pulang hari ini setelah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak Isnin lalu.
Perkembangan terbaharu Ahli Parlimen Marang itu dimaklumkan sendiri olehnya menerusi hantaran di Facebook.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini saya telah dibenarkan untuk pulang setelah menerima rawatan di IJN sejak Isnin.
“Pastinya saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepada para doktor dan petugas di Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan IJN, atas kecekapan dan profesionalisma yang tinggi, juga kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan saya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, sepanjang tempoh rawatan, beliau turut mengikuti perkembangan berita dalam dan luar negara, khususnya berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Dasar Perpaduan Negara, selain langkah mengekang pandemik itu dan pemulihan semula ekonomi.
“Semoga semuanya dapat dijayakan dengan dukungan bersama. Dari jendela Institut Jantung Negara, saya berterima kasih kepada semua,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Abdul Hadi dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya akibat sesak nafas sebelum dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan.- Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/16/minta-bawa-laptop-ke-ijn-hadi-awang-mahu-buat-kerja/

