Nurul Huda Abhar
NAMA minyak pengasih tidak asing dikaitkan dengan individu yang berhadapan detik sukar untuk mendapatkan jodoh atau berkeinginan untuk menundukkan pihak lain bagi mengikuti kehendaknya.
Kebiasaannya ia menjadi salah satu kaedah segera untuk menundukkan pasangan, mahu dihormati oleh orang lain dan juga mahu mencapai sesuatu kemuncak dalam kerjaya ataupun perniagaan yang diusahakan.
Fenomena baharu di zaman digital, minyak pengasih dijual secara terang-terangan di laman perniagaan e-dagang dengan harga serendah RM50 sehingga mencecah ratusan ringgit.

Tinjauan di laman Shopee, peniaga-peniaga menjanjikan khasiat minyak buluh perindu bersama mandian aura terapi boleh menaikkan seri wajah pemakai, mengeratkan hubungan rumah tangga, meningkatkan aura dan boleh digunakan untuk sebarang hajat.
Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Abdul Hadi Jusoh memberitahu bahawa penjualan minyak pengasih yang menggunakan buluh perindu atau minyak cenuai sebenarnya telah lama wujud di pasaran.
“Cuma dengan wujudnya platform e-commerce ini mereka lebih meriah. Jika kita taip di internet minyak pengasih banyak penjual-penjual buat iklan secara berbayar dan ia banyak di Indonesia berdasarkan pengalaman saya. Lebih aktif di belah sana.

“Cuma di negara kita tidak ada pemantauan tegas yang menyebabkan hal ini makin berleluasa. Penjualan atas nama minyak pengasih atas tujuan untuk menundukkan dan sebagainya ia adalah sesuatu yang haram dan syirik,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Abdul Hadi yang juga Pengarah Urusan Ikhtiar Syifa Sdn Bhd berpengalaman selama 14 tahun mengendalikan perubatan Islam dan Syifa berkata minyak pengasih sememangnya tidak dibenarkan walaupun ada sesetengah menyatakan hanya menggunakan nama sahaja tanpa isi kandungan yang mencurigakan.
Beliau menjelaskan, jika mengambil maklum maksud umum minyak pengasih itu adalah minyak untuk menundukkan dan diletakkan jampi mentera atau bahan azimat berbentuk ikatan serta guna-guna daripada bahan yang syirik.
Maka, beliau menegaskan masyarakat perlu disedarkan berkenaan hal tersebut bagi mengelakkan daripada terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan kehidupan keluarga sendiri, mahupun pihak luar.
“Walaupun jika dia kata minyak itu dibacakan dengan ayat Al-Quran tapi digunakan untuk niat yang tidak baik maka tidak boleh juga. Contoh minyak itu diguna untuk tundukkan isteri orang, tundukkan suami maka itu tidak dibolehkan.

“Lazimnya minyak yang digunakan dalam minyak pengasih iaitu minyak cenuai, buluh perindu, minyak dagu. Tapi tidak akan ada pihak yang mengaku dia buat minyak itu guna jampi serapah, jadi kita menghukum pada yang zahir.
“Cuba tanya buluh perindu itu apa, minyak cenuai itu apa, semua itu ada kaitan dengan jin, bahan itu sendiri ada sandaran jin,” katanya.
Amalan mencurigakan
Menerusi gambar yang dikirim penerima diruang ‘review’, kaedah panduan menggunakan minyak tersebut agak mencurigakan di mana perlu dicalitkan di kedua-dua jari kelingking dan disapu dari pangkal kening hingga ke hujung berserta dengan hajat si pemakai.
Pengguna juga tidak dibenarkan melihat cermin semasa memakai minyak itu kononnya ia boleh memantulkan semula seperti mengikut petua orang dulu-dulu.

Menurut Abdul Hadi, sikap menyandarkan kepercayaan kepada sesuatu bahan yang terkandung dalam minyak, selain kebergantungan kepada Allah SWT adalah dilarang kerana ia perbuatan yang syirik.
“Minyak pengasih ini selalunya disandarkan kepada bahan (syirik) itu. Jarang kita tengok minyak pengasih kosong. Kerana minyak pengasih ini dijual dalam harga yang mahal malah ada ditapakan minyak itu selama 40 hari 40 malam maka perbuatan seperti ini jelas jatuh ke lembah syirik.
“Sebabnya tidak ada ilmu dan kesedaran dalam masyarakat yang menyebabkan perkara ini berlaku. Kadang-kadang mereka yang bomoh-bomoh ini lebih aktif dari pengamal perubatan.

“Ada yang buat live cara-cara tangkap saka, cara-cara nak tundukkan orang. Jadi perlu program kesedaran bagi masyarakat. Bila mereka tak tahu sebab itu beli benda-benda macam itu jadi tidak boleh meletakkan hukum pada mereka,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau berkata semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat yang kurang pengetahuan berkenaan amalan-amalan khurafat yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
Beliau juga mengambil inisiatif melalui Ikhtiar Syifa bersiaran secara live di media sosial membicarakan berkenaan alam mistik dan membuat pendedahan atau pencerahan tentang gangguan makhluk halus serta perkara yang patut dihindari dalam perubatan Islam.
Sementara itu, berdasarkan pengalamannya dalam ilmu perubatan Islam, memang kebiasaan individu yang gunakan azimat akan mengalami sakit dan akhirnya menyesal kerana mengambil minyak itu dalam keadaan tidak sedar.
Abdul Hadi juga berkongsi kisah berkenaan seorang pesakit yang telah membeli satu minyak yang dikatakan mampu mengeluarkan kaca dan sihir namun tidak menyedari bahawa minyak itu ada pendamping malah setelah dipakai ketika mandi keluar lintah merayap-rayap.

“Tapi dia kata lepas guna dia makin sakit, dan sakit yang berbeza. Konsepnya begini, bila guna benda yang berazimat ‘dia’ ada pendampingan jin maka jin datang duduk berdamping dengan tubuh kita.
“Sampai masa kita sakit dan terpaksa dibawa ke tuan dia atau bomoh itu kembali. Itu sebabnya kita tak boleh guna barang-barang berbentuk azimat, tangkal, minyak pengasih. Jangan sesekali ada perasaan mahu cuba,” ujarnya. -Malaysiapost

