SEORANG lelaki dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Rawang By Pass dari arah Selayang menghala ke Sungai Buaya, hari ini.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, cubaan lelaki berusia 50 tahun yang baru bercerai dan berhenti kerja itu bagaimanapun berjaya digagalkan hasil pujukan bekas isterinya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, ketika polis dan bomba sampai ke lokasi kejadian, lelaki sedang berdiri di atas pembahagi jalan sambil berpaut di tiang lampu jalan di atas Jambatan itu dan cuba terjun dari jambatan itu.
“Pihak polis dan bomba berusaha memujuknya supaya tidak terjun dari jambatan dengan ketinggian kira-kira 100 meter itu, namun dia enggan dan mengugut akan terjun,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, ketika dalam proses memujuk lelaki itu, seorang wanita berusia 50 tahun dipercayai bekas isterinya datang untuk memujuknya.
Beliau berkata, lelaki itu akhirnya berjaya dipujuk bekas isterinya dan diselamatkan dengan bantuan pihak polis serta bomba.
“Lelaki itu kemudian ditahan sebelum siasatan mendapati dia bertindak sedemikian kerana menghadapi krisis rumah tangga dengan bekas isterinya dan mereka bercerai pada 12 Januari lalu.
“Lelaki itu dalam usaha memujuk bekas isteri untuk rujuk semula dan ia adalah perkahwinan keduanya selama empat tahun serta tidak dikurniakan zuriat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan lanjut. – Malaysiapost

