PELAKSANAAN Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula hujung bulan ini, dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 13,000 petugas dan sukarelawan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tenaga kerja itu adalah membabitkan kira-kira 3,000 petugas kesihatan dan 10,000 sukarelawan daripada pelbagai sektor bukan kesihatan.
Menurutnya, jika jumlah petugas kesihatan itu tidak mencukupi, pihaknya akan mendapatkan khidmat daripada hospital dan klinik swasta, pesara serta bantuan daripada pelajar perubatan dan pergigian.
“Sukarelawan yang diperlukan pula merangkumi anggota polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan rakyat biasa untuk ditempatkan di pusat pemberian vaksin (PPV).
“Petugas bukan kesihatan diperlukan untuk membantu urusan pendaftaran, mengawal kehadiran orang ramai, menjaga keselamatan dan menguruskan makanan kepada petugas kesihatan,” katanya dalam temu bual bersama radio BFM mengenai agihan vaksin Covid-19, hari ini.
Khairy berkata, pihaknya sudah mula berurusan dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan portal pendaftaran sukarelawan sedang dibangunkan untuk dilancarkan secepat mungkin.
“Program sukarelawan bagi imunisasi COVID-19 ini akan dikoordinasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.
Beliau berkata, fasa pertama agihan vaksin akan membabitkan 500,000 orang dalam kalangan petugas barisan hadapan dan perkhidmatan penting negara, namun jumlah itu boleh ditambah jika Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan tiga lagi vaksin iaitu Sinovac, Sputnik V dan AstraZeneca.
“Bagi fasa kedua, keutamaan akan diberikan kepada individu memiliki komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak), sama ada penduduk tempatan atau warga asing.
“Kami sedang menyenaraikan penyakit yang akan diberi keutamaan untuk fasa kedua, termasuk penyakit jantung, diabetes, buah pinggang. Senarai penuh akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, pemberian vaksin sama ada di hospital atau klinik swasta tidak dikenakan bayaran, kerana ia ditanggung kerajaan.
“Ada juga permintaan supaya hospital swasta membeli vaksin itu secara sendiri, yang akan mewujudkan pasaran swasta untuk vaksin Covid-19 di Malaysia.
“Buat masa ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak sarankan atas pertimbangan keperluan mendesak untuk orang ramai,” katanya. – Malaysiapost

