Malaysia kekal status kawalan kanabis

0
1

MALAYSIA tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan bertegas atas pendirian bahan itu jelas banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Menurutnya, komitmen itu ditunjukkan kerajaan walaupun Persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik yang diadakan di Vienna baru-baru ini telah bersetuju untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961.

“Kerajaan telah mensasarkan ‘Dadah Terkawal 2025’ sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara.

“Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah,” katanya dalam perutusan sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2021, malam ini.

Perutusan khas itu disiarkan melalui stesen televisyen utama negara.

Muhyiddin berkata, antara objektif utama Dadah Terkawal 2025 ialah membersihkan 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) seluruh negara, meluaskan liputan rawatan bagi meningkatkan kadar pemulihan penagih dadah, memperkasa penglibatan komuniti selain menggerakkan agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersepadu dalam menangani isu berkenaan dadah.

Katanya, sebelum ini pelbagai sasaran telah ditetapkan seperti Sifar Dadah dan Malaysia Bebas Dadah 2015 dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah yang terus menjadi musuh nombor satu negara sejak 1983.

“Kerajaan juga komited untuk terus membasmi masalah dadah di negara kita supaya ia terkawal dan dapat dibendung secara terancang. Isu penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang kompleks dan sukar untuk dibendung sepenuhnya berikutan perubahan trend dan kemunculan jenis dadah baharu di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini sedang membangunkan Indeks Antidadah sebagai kaedah mengukur keberkesanan dari segi penguatkuasaan.

Selain usaha kerajaan, Muhyiddin merayu semua rakyat turut menanamkan azam untuk memainkan peranan melalui program ambil peduli dan sokongan sosial oleh pemimpin komuniti bagi mewujudkan persekitaran kejiranan selamat dan bebas kegiatan penyalahgunaan dadah.

Beliau turut berharap Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ memberi mesej yang jelas bahawa masalah penyalahgunaan dadah boleh dicegah lebih awal dengan kerjasama semua pihak.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memperkukuhkan tekad dan azam dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang sifar dadah agar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat dikecapi bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here