Tingkatan ujian saringan Covid-19 hingga 100,000 sehari

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merancang beberapa strategi bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 termasuk meningkatkan lagi ujian saringan harian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM akan mempertingkatkan lagi kadar ujian saringan daripada 78,650 kepada 100,000 sehari.

Menurutnya, bagi tujuan itu pihaknya akan melihat kemungkinan untuk membina makmal lain di hospital daerah untuk meningkatkan kadar ujian tersebut.

“Kita akan meningkatkan lagi kadar ujian ataupun ujian seharian RT-PCR dan RTK-Antigen dengan makmal yang kita ada sekarang ini.

“Buat masa ini, kita ada 68 makmal yang mana 23 makmal swasta, 13 makmal universiti, satu makmal Angkatan Tentera Malaysia dan satu makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya ketika Sesi Libat Urus Darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 3, Keselamatan dan Keberkesanan Vaksin Covid-19 serta strategi KKM bagi melindungi golongan berisiko tinggi hari ini.

Menurutnya, kadar ujian RT-PCR hari ini adalah 78,650 kes, namun dengan tambahan makmal swasta ia boleh meningkatkan lagi ujian, mungkin boleh mencecah 100,000 ujian.

Terdahulu, analisis ujian saringan RTK-Antigen dan RT-PCR yang dijalankan KKM masih dalam tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, tanda aras tersebut menetapkan 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap satu kes positif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here