“MASIHKAH kita perlu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya Covid hanya bahaya dalam parlimen?,” soal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sindirin sinis Najib itu susulan keputusan kerajaan hari ini yang melonggarkan beberapa peraturan PKP termasuk membenarkan lebih dua orang makan semeja di kedai dan tiada lagi had penumpang dalam kenderaan.
“Had dua orang bagi setiap meja dalam restoran ditarik balik. Tiada lagi had bagi jumlah penumpang dalam kereta.
“Tiada lagi had 10km perjalanan. Kedai 4D, kedai slot machine, kasino dibuka semula,” luah Najib dalam Facebooknya.
Justeru, Najib turut mempersoalkan keperluan untuk polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) termasuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Jika begini, adakah kita masih perlu roadblock dalam bandar ataupun pegawai polis boleh diagih untuk jaga sekatan rentas negeri atau penguatkuasaan pematuhan SOP?
“Masih kita perlu PKP sekiranya Covid hanya bahaya dalam parlimen?,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tidak ada lagi peraturan makan semeja dua orang di kedai makan, sebaliknya dibenarkan mengikut kesesuaian saiz meja di semua negeri yang dikuatkuasakan PKP.
Katanya, bagaimanapun SOP penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain dikekalkan.
Selain itu, kerajaan juga membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk bagi negeri yang masih menguatkuasakan PKP bermula esok.
Ismail Sabri berkata, peraturan sama turut dilaksanakan bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
“Jumlah kenderaan ini menimbulkan isu bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan tidak boleh ditinggalkan di rumah,” katanya. -Malaysiapost

