WANG tunai sebanyak RM1.2 juta antara yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan Timbalan Pengerusi sebuah parti politik di Perak, semalam.
Selain itu, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan kes membabitkan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri.
SPRM dalam satu kenyataan malam ini, mengesahkan telah menahan individu terbabit yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.
Menurut agensi itu, turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh semalam ialah dua pengarah syarikat.
“SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan Timbalan Pengerusi tersebut.
“Turut dirampas, sebuah kereta mewah yang digunakan bekas menteri tersebut sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.
“Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan,” katanya.
Menurutnya, ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes berkenaan. – Malaysiapost

