Keluarga terharu keprihatinan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya

0
1

KELUARGA Sarjan Mejar Mashidi Husian, 53, terharu dengan keprihatinan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang sanggup turun ke liang lahad untuk membantu menguruskan jenazah Allahyarham.

Nafisah Mohd Zin, 53, berkata, arwah suaminya sering bercerita mengenai keprihatinan ‘bosnya’ itu, namun dia tidak menyangka pengakhirannya turut mendapat perhatian.

“Kami sekeluarga tidak menyangka keprihatinan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang sanggup turun ke liang lahad untuk membantu menguruskan jenazah suami.

“Kami terharu dengan tindakan Tuan Nik Ezanee yang turun ke liang lahad lengkap dengan uniform,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Nafisah berkata, adik beradik arwah yang tidak dapat datang menziarah turut terkejut apabila melihat gambar tular pegawai berpangkat tinggi membantu menguruskan jenazah.

Menurutnya, arwah mengidap penyakit buah pinggang sejak 19 tahun lalu dan meninggal dunia pada jam 1.10 tengah hari semalam.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Desa Aman, Pantai Dalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam semalam.

Nafisah berkata, kini anak lelaki bongsunya yang berusia 22 tahun akan mengikut langkah arwah apabila memohon menyertai pasukan polis dan menjadikan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu sebagai idola.

Terdahulu, tular gambar dan video menunjukkan Nik Ezanee yang lengkap beruniform turun ke liang lahad bagi membantu menguruskan jenazah seorang anggotanya.

Gambar berkenaan mendapat perhatian ramai kerana tindakan prihatin dilakukan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here