LANGKAWI di Kedah dan Kuala Lipis di Pahang kini kembali menjadi zon hijau selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu adalah berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19.
“Taburan kes mengikut daerah di Malaysia dari 4 Februari hingga semalam menunjukkan Langkawi dan Kuala Lipis di Semenanjung kini telah bertukar kepada zon hijau.
“Sila duduk di rumah dan jika terpaksa keluar patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kita perlukan tahap disiplin yang tinggi untuk memutuskan jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi infografik pergerakan taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Malaysia sepanjang dua minggu berkenaan.
Berdasarkan infografik berkenaan, terdapat 22 daerah seluruh Semenanjung yang kini berada di zon kuning iaitu merekodkan hanya satu hingga 20 kes sahaja.
Antara daerah yang mencatatkan satu kes sahaja ialah Cameron Highlands di Pahang, Jeli di Kelantan dan Padang Terap di Kedah.
Daerah paling tinggi kes Covid-19 sepanjang tempoh sama adalah Petaling di Selangor dengan 6,104 kes, diikuti daerah Hulu Selangor 2,917 kes dan ketiga tertinggi adalah Klang membabitkan 2,752 kes. – Malaysiapost

