BEBERAPA reka bentuk logo baharu Perak FC telah disenarai pendek bagi membolehkan peminat memilih sendiri logo yang dirasakan sesuai untuk pasukan, menerusi undian dalam talian yang bermula malam ini.
“Kita dapat sekitar 1,500 penyertaan, namun hanya enam atau tujuh sahaja dipilih untuk disenarai pendek dan undian ini juga kita buka selama 24 jam sahaja memandangkan banyak lagi proses perlu dilakukan selepas logo dipilih,” kata Ahli Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Shahril Mohamed.
Beliau berkata logo yang disenarai pendek oleh ahli panel ini dipilih berdasarkan keaslian reka bentuk dan yang bersesuaian.
“Mana-mana reka bentuk yang imej diambil dari Google kita tolak,” katanya seperti dilapor Bernama.
Baru-baru ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan agar pertandingan mencipta logo baharu Perak FC dibuat dan penyertaannya dibuka kepada rakyat jelata.
Baginda menitahkan perkara itu berikutan logo yang dilancarkan Perak FC menerusi Instagram ‘peraktbgmy’ dengan mengetengahkan konsep ‘a new chapter begins, but the history remains’ pada 30 Januari lalu, mendapat kritikan dan reaksi negatif daripada penyokong The Bos Gaurus. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

