SATU model khas gajet seperti komputer riba atau tablet yang menepati spesifikasi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) pada harga minimum akan ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata ia bagi mengatasi isu harga serta bekalan peranti elektronik dan mengurangkan beban ibu bapa bagi menyediakan keperluan itu untuk anak mereka.
“Cadangan ini masih di peringkat perbincangan antara KPDNHEP dengan pemain industri.
“Kita dijadual mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pemain industri minggu ini bagi meneliti cadangan dan memperhalusi pelaksanaannya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Katanya, cadangan itu bertujuan memudahkan ibu bapa mendapatkan keperluan komputer riba atau tablet yang sesuai untuk anak mereka pada harga berpatutan.
“KPDNHEP tiada kuasa meletak harga kawalan atau harga siling untuk mengawal harga jualan barangan ini.
“Namun kita ambil maklum peningkatan permintaan terhadap keperluan kelengkapan elektronik dan komunikasi untuk pelajar sekolah dalam pelaksanaan PdPR,” katanya.
Beliau berkata, sebagai kementerian bertanggungjawab menjaga kepentingan pengguna dan memerangi peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan mudah, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melancarkan Op Catut 8.0 khusus untuk kelengkapan elektronik dan komunikasi bermula 25 Januari dan berakhir 7 Februari lalu.
“Hasilnya tujuh aduan diterima membabitkan harga mahal komputer riba dan komputer iaitu empat masih dalam siasatan, dua dirujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan satu kes selesai siasatan setakat 5 Februari lalu.
“Selain itu, aduan harga mahal membabitkan dua mesin pencetak dan tiga dakwat pencetak dilaporkan,” katanya.
Menurutnya, Op Catut 8.0 bertujuan mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya menerusi pemantauan maklumat harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon pintar yang mempunyai permintaan tinggi.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan Op Catut 8.0, 343 peniaga menjual kelengkapan elektronik dan telekomunikasi seluruh negara diperiksa membabitkan 651 barangan.
“Seramai 341 peniaga diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat harga dan kos belian barangan dan mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

