SUPERCOMPUTER meramalkan Manchester United akan muncul naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan Chelsea gagal menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas.
The Red Devils ketika ini berdepan masalah prestasi apabila tewas di tangan pasukan tercorot, Sheffield United serta terikat 1-1 menentang pasukan di zon penyingkiran, West Brom semalam.
Namun, Supercomputer tetap meramalkan United menjadi naib juara musim ini – pencapaian terbaik selepas persaraan Sir Alex Ferguson dan mengulangi kejayaan Jose Mourinho sebelum ini.
Agensi melaporkan laman web FiveThirtyEight yang membuat ramalan mengenai sukan, United hanya ada satu peratus untuk memenangi liga dengan seteru tetangganya, Manchester City diramal memiliki peluang setinggi 98 peratus untuk muncul juara musim ini.
Bagaimanapun, Liverpool yang tampak sudah menyerah kalah dalam perebutan liga tetap lega apabila menamatkan saingan di tempat ketiga selepas Supercomputer meramalkan mereka ada 70 peratus untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Leicester pula melengkapkan empat pasukan teratas dan Chelsea di tangga kelima dengan perbezaan satu mata.
West Ham pula diramal menamatkan saingan di tempat keenam, mengatasi Tottenham sementara Everton dan Arsenal masing masing di tangga kesembilan dan ke-10.
The Gunners hanya memiliki empat peratus peluang untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Bagi penyingkiran, rekod hebat Sam Allardyce dijangka berakhir pada musim ini.
Ini kerana West Brom diramal menghuni tangga tercorot dengan peluang 98 peratus untuk tersingkir dan mereka akan diikuti Sheffield United serta Fulham. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/09/peluang-united-tipis-ferdinand/

