PERSATUAN Hospital Swasta Malaysia (APHM) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan untuk menjalankan vaksinasi kepada orang ramai bagi membantu menyelesaikan proses itu lebih awal dari tempoh ditetapkan.
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata pihaknya sedang menunggu untuk membincangkan mekanisme vaksinasi kerana ramai yang gembira sekiranya dapat divaksinkan di hospital swasta.
“Ini adalah perkhidmatan yang dapat kami berikan kepada orang ramai.
“Bagaimanapun, kami sedang menunggu arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas layanan sama rata bagi suntikan vaksin Covid-19 terhadap kakitangan kesihatan swasta.
“Pekerja kesihatan di Hospital Swasta akan menerima vaksinasi secara serentak dengan pekerja kesihatan kerajaan dan kami berterima kasih atas usaha ini.
“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan semua petugas barisan hadapan dilindungi dengan vaksinasi di sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga meminta rakyat supaya menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana ia selamat dan kemungkinan komplikasi jangka panjang wabak Covid-19 jauh lebih teruk berbanding kesan sampingan vaksin.
“Justeru, setiap orang harus menunggu giliran dan akan diberitahu,” katanya.
Pagi tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bekalan vaksin daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.
Perdana Menteri berkata, Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari dan beliau serta petugas barisan hadapan akan menerima suntikan itu pada hari yang sama.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa iaitu yang.pertama melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Februari sehingga April 2021.
Fasa kedua bermula April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 sehingga Febuari 2022. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/16/vaksin-tiba-21-februari-ini-pm/
https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/kkm-sedia-laksana-imunisasi-vaksin-pertama-dr-adham/

