Boleh kelas tambahan tapi perlu persetujuan ibu bapa, guru – Radzi

0
1

PIHAK sekolah dibenarkan mengadakan kelas tambahan walaupun sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir pada 9 Februari.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata kelas tambahan itu hanya dibenarkan dengan persetujuan ibu bapa dan guru.

“Apabila dimaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka berakhir pada 9 Februari lalu, hasrat kami ialah untuk memberi ruang kepada calon-calon peperiksaan membuat persediaan kendiri.

“Tujuannya adalah untuk membuka ruang seluasnya kepada calon menggunakan masa yang ada dengan pendekatan paling sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk terus melakukan yang terbaik kepada calon SPM 2020.

Menerusi hantaran sama, Radzi berkongsi lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, SMK Seri Titiwangsa dan SMK Keramat Wangsa di Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin

Ia bagi meninjau tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk peperiksaan SPM yang akan bermula pada 22 Februari ini.

Katanya, antara aspek diteliti termasuk susun atur dewan peperiksaan, pergerakan keluar masuk calon serta pematuhan terhadap SOP.

“Kebetulan di ketiga-tiga sekolah ini terdapat murid yang sedang mengikuti kelas tambahan.

“Anak-anak ini nampak bersemangat dan bersedia untuk menduduki peperiksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here