PENGUATKUASAAN usia kelayakan mengundi 18 tahun mesti diteruskan kerana ia telah diterima sebulat suara di Parlimen.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata usaha memperluaskan penglibatan pengundi itu adalah sejajar dengan penambahbaikan demokrasi.
Katanya, generasi muda hari ini walaupun baru peringkat menengah atas, ilmu pengetahuan dan pendedahan mereka jauh lebih besar dan luas berbanding dulu.
“Cuma ya, masih perlu diasuh dan diasah. Ilmu ni sifatnya berkembang. Yang berusia juga mesti terus belajar.
“Undi 18 mesti diteruskan. Jangan jadikan kesempurnaan musuh kebaikan. Jangan jadi anak muda yang merasa gelas telah penuh sampai tak boleh dituang air baru. Jangan jadi anak muda yang tekonya kosong. Tak ada apa air boleh dituang daripadanya.
“Kita hanya mungkin tahu banyak perkara baru jika berani meneroka. Susah, tapi manfaatnya akan lebih dirasakan generasi kemudian.
“Kita tak akan dapat meneroka yang baru jika tak mahu keluar dari kepompong lama. Kapal memang selamat di pelabuhan, tetapi itu bukan tujuan ia diciptakan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Perkara 119) diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Pada Oktober 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Beliau dilaporkan berkata selepas dikuatkuasakan pada tarikh ditetapkan kelak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib memastikan setiap warganegara yang mencapai usia 18 tahun dan tidak hilang kelayakan didaftarkan sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
SPR menjangka semua persediaan berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 18 hingga 24 bulan daripada kelulusan pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan itu pada 25 Julai 2019. – Malaysiapost

