Bersatu jangan tanding di kawasan Umno – Saarani

0
1

BERSATU diingatkan tidak bertanding di kerusi yang dimenangi Umno Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada PRU akan datang.

Peringatan itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad yang juga Menteri Besar Perak.

Saarani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini akan kekal ditandingi pada PRU15.

“Kalau ada keikhlasan untuk menyokong dan mendokong penyatuan di Perak, jangan ganggu tempat Umno dan PAS.

“Terdapat dua Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bersatu di Perak sekarang iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah. Kerusi itu sebenarnya hak Umno. Jadi, Umno akan letak calon bertanding di kawasan ini.

“Begitu juga Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang yang asalnya kawasan Umno.

“Kami menang dulu (PRU14) atas tiket BN (Barisan Nasional). Kita tidak akan bagi kepada Bersatu. Tiada sebarang kompromi,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Beliau berkata, jika Bersatu benar-benar mahu menyelamatkan ummah dan Melayu, mereka disarankan bertanding di kerusi-kerusi yang disandang Pakatan Harapan (PH).

“Bersatu janganlah mengganggu tempat Umno dan PAS. Cuba cari pasaran baru, itu yang kita minta.

“Kalau tidak, seperti yang dijangka akan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru. Jika itu berlaku, sudah tentu orang lain akan mengambil kesempatan dan parti-parti Melayu akan jatuh,” katanya.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata, Umno memiliki kekuatan sendiri menerusi Muafakat Nasional (MN) dan persefahaman itu perlu diteruskan.

“Umno sudah ada kekuatan bersama dengan MN. Jadi teruskan, tetapi Bersatu datang kemudian.

“Kalau datang Bersatu untuk sama-sama menguatkan PAS dengan Umno, maka jangan ganggu tempat PAS dan Umno,” tegasnya.

Beliau turut berjanji untuk mengerahkan semua jentera parti supaya membantu Bersatu sekiranya parti itu tidak bertanding di kawasan Umno

“Saya janji, kalau Bersatu sanggup bertanding di Simpang Pulai, ahli Umno di kawasan ini saya akan kerah untuk sokong Bersatu sehingga menang,” katanya.

Ketika ditanya masa depan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang, Saarani berkata, tidak mustahil PN akan berkubur jika berlaku pertembungan antara calon dalam gabungan PN di sesuatu kawasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here