APMM lebih perkasa dengan aset baharu – Hamzah

0
1

KERAJAAN sentiasa mengiktiraf peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samudera negara terutama dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keupayaan APMM telah terbukti melalui beberapa operasi termasuk yang terbaharu dalam Op Benteng ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

“Operasi seperti Op Naga dan Op Kuda Laut telah berjaya menangkap dan menggagalkan banyak aktiviti bot nelayan haram, penyeludupan dadah dan manusia sepanjang tahun lepas.

“Sementara itu, Op Benteng dengan kerjasama dengan agensi kerajaan lain telah menangani kemasukan migran asing secara haram ketika pandemik Covid-19,” katanya sempena sambutan Hari Ulang tahun ke-16 Maritim Malaysia secara dalam talian di Facebook APMM hari ini.

Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin perolehan aset baharu seperti kapal ronda dan persisiran pantai, pesawat udara dan pelbagai pembangunan infrastruktur lain akan meningkatkan keupayaan dan memperkasakan lagi agensi berkenaan.

“Pada hari ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang tahun ke-16 Maritim Malaysia.

“Saya yakin warga APMM akan terus serius melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam ucapannya berkata, dalam peperangan menentang musuh ‘halimunan’ (Covid-19), APMM tidak terkecuali sebagai petugas barisan hadapan.

“Peperangan ini memerlukan kekuatan dan semangat yang jitu dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan, ” katanya.

Menurutnya, berdasarkan situasi dan cabaran dihadapi dalam menguatkuasakan undang-undang ketika pandemik Covid-19 ini telah memperlihatkan APMM mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan jayanya.

“Oleh yang demikian ‘Kami Serius Melaksanakannya’ atau dalam bahasa Inggeris ‘We Take it Seriously’ telah dipilih sebagai tema sambutan hari Ulang tahun APMM kali ini.

“Pemilihan tema ini bukan berdasarkan sedap didengar atau lunak diucap, sebaliknya membawa maksud yang realistik berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 31 warga APMM dan 20 ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 dan mereka kini telah pulih sepenuhnya.

Sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-16 Maritim Malaysia itu, seramai 377 pegawai menerima anugerah perkhidmatan cemerlang selain sembilan pegawai dan lapan anggota dianugerahkan reben penghargaan ketua pengarah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here