Mark Adam ganti Shuk dalam GPH di Hot FM

0
1

PENYANYI dan pelakon, Mark Adam diumumkan sebagai penyampai radio Hot FM, mengantikan Shuk Sahar yang digantung tugas sementara, bermula hari ini.

Perkara itu dimaklumkan stesen radio itu menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram rasmi Hot FM @hotfm976.

“Mark akan bersama-sama dengan Fizie mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) bermula hari ini bagi menggantikan Shuk Sahar yang digantung tugas.

“Geng baharu @fizie_hotfm, lepas ni kita buat Tik Tok hari-hari okay @markadam1079,” tulisnya.

Sementara itu, Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 42, meluahkan kegembiraan dan teruja di atas peluang yang diberikan Hot FM.

“Bismillah. Assalamualaikum semua. Syukur alhamdulillah dengan peluang dan rezeki yang diberikan.

“Dalam kerjaya ini, saya tahu betapa besarnya tanggungjawab, saya berjanji untuk melakukan yang terbaik setiap hari untuk semua, Insya-Allah.

“Geng, jom dengarkan @hotfm976 bersama saya dan @fizie_hotfm. Lebih Hangat Daripada Biasa,” katanya menerusi Instagramnya.

GPH sebelum ini dikendalikan tiga penyampai iaitu Fizie, Shuib Sepahtu dan Shuk Sahar.

Namun pada 18 Januari lalu, Shuib mengambil keputusan untuk menamatkan tugas secara sukarela kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

Manakala, Shuk Sahar digantung sementara oleh pengurusan Hot FM pada 25 Januari susulan isu ‘curang’ yang mencetuskan kontroversi rumah tangganya.

Sehingga kini, isu penggantungan masih dalam perbincangan dan sebarang pengumuman akan diumumkan kelak oleh pihak pengurusan. -Malaysiapost


Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/hot-fm-gantung-shuk-sahar-sementara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here