Segera tawar jawatan tetap kepada petugas kesihatan kontrak, sambilan

0
1
Datuk Seri Mohamad Hasan

KERAJAAN disaran agar memperkasakan sistem kesihatan awam negara dengan segera mewujud dan meluluskan perjawatan baharu bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang dijangka berlanjutan untuk beberapa tahun akan datang.

Saranan itu dibuat Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan yang mahu negara lebih siapsiaga demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Menurutnya, penelitian beberapa pakar perubatan dunia menjangkakan pandemik global yang dihadapi ketika ini akan beterusan sehingga 2024.

“Ini kerana walaupun vaksinasi telah bermula, tetapi ‘vaccine nationalism’ oleh sesetengah negara maju menyebabkan negara membangun dan kurang membangun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin.

“Sehingga waktu ini, 130 negara masih belum menerima vaksin malah tidak berkemampuan untuk membelinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, senario itu akan menyebabkan Covid-19 terus menjadi ancaman keselamatan global sehinggalah semua warga dunia mendapat immunisasi dan membangun ‘immunisasi kelompok’.

“Malaysia mesti mengambil pendekatan kesiapsiagaan terhadap senario ini. Sektor perkhidmatan kesihatan kita mesti diperkasakan dengan berganda dan tanpa berlengah,” katanya.

Menurutnya, petugas kesihatan kontrak dan sambilan yang waktu ini sedang berkhidmat wajar ditawarkan jawatan tetap dengan segera.

“Mereka telah berkhidmat di waktu yang sangat sukar dan pengalaman sebagai petugas hadapan sangat berharga untuk memperkuatkan sistem kesihatan awam kita.

“Petugas ini melaksanakan tugas patriotik kepada negara dengan keringat dan pengorbanan tertinggi, walaupun tanpa jaminan pekerjaan tetap.

“Justeru menyerapkan mereka ke perjawatan tetap adalah sangat bertepatan dengan kompetensi, jasa dan sumbangan mereka,” katanya.

Mohamad berkata, sukarelawan yang terdiri dari pesara dan pelbagai segmen masyarakat yang lain pula mesti terus dilatih dan berada dalam ‘data base’ Kementerian Kesihatan (KKM) agar mereka boleh dimobilisasikan segera dalam keadaan genting dan kritikal.

“Sistem kesihatan kita berfungsi dengan baik di sebalik segala tekanan luar jangkaan kerana merebaknya wabak corona ini.

“Semua ini kerana dedikasi dan kerja keras semua petugas kesihatan, sama ada tetap, kontrak dan sukarelawan. Sumbangan mereka sangat luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, tugas seterusnya ialah memperkuatkan sistem kesihatan awam dengan menambah dan mengisi segala keperluan perjawatan, membawa bakat terbaik menyertai KKM. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/10/07/anwar-minta-rakyat-bersatu-sokong-petugas-barisan-hadapan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here