Sugar baby: Data sengaja direka untuk popularkan aplikasi

0
1

DATA kononnya 10 institusi pengajian tinggi (IPT) menghasilkan ‘sugar baby’ dalam kalangan penuntutnya dipercayai sengaja dikeluarkan untuk mempopularkan aplikasi Sugarbook.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Mohd Husni Abdullah berkata, pihaknya bimbang terhadap penerimaan informasi atau berita yang tular secara bulat-bulat oleh masyarakat.

Ini kerana katanya, banyak pihak terus melenting sebaik sahaja informasi tersebut tular.

“Pada hemat MBM, informasi yang dikeluarkan tidak mempunyai dokumen sokongan dan sumber yang boleh dipercayai. Data tersebut tidak kukuh, malah boleh ditokok tambah oleh sesiapa dan pada bila-bila masa.

“Ia mungkin taktik untuk mempopularkan aplikasi atau menaikkan harga penyertaan dalam melanggan aplikasi.

“Sehubungan itu, MBM menyarankan agar masyarakat lebih bijak dalam menerima apa-apa berita tular terutama di media sosial. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila menerima berita adalah menyemak fakta dan sumber terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Mohd Husni berkata MBM kerap kali menyarankan agar belia Malaysia menjadi ‘Fact Checker’ atas apa-apa berita yang tular supaya masyarakat dapat menerima berita sahih dan tidak memudaratkan lagi sesuatu keadaan.

Dalam masa sama, beliau berkata MBM meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar terus memantau dengan lebih teliti aplikasi sebegini.

“Sekiranya ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan, seeloknya disekat sahaja aplikasi seumpama ini.

“MBM menyarankan agar masyarakat berhati-hati dengan kesahihan fakta kerana ia boleh merosakkan imej institusi.

“Lebih elok kiranya kita berbangga dengan pencapaian dan kualiti graduan dihasilkan institusi daripada kita berbangga dengan berapa ramai gadis yang berjaya dikeluarkan sebagai sugar babbies,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata statistik menunjukkan 12,705 pelajar institusi pengajian tinggu (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy.

Katanya, berdasarkan rekod, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid-19 masih lagi menular di seluruh dunia.

Susulan itu, pelbagai pihak mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menutup aplikasi Sugarbook. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/sugarbook-akan-dikenakan-tindakan-tegas/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here