NGO sambut baik RUU gangguan seksual

0
1

NATION of Women (NOW) menyambut baik pengumuman Rang Undang-undang (RUU) gangguan seksual yang akan dibentang dalam sidang parlimen akan datang.

Presidennya, Hanizah Mohamed Talha dalam satu kenyataan berkata, pembentangan RUU tersebut sememangnya dinantikan oleh kaum wanita terutama mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual yang terpaksa berdiam diri kerana tiada undang-undang yang melindungi mereka.

“Gangguan seksual sering berlaku ke atas kaum wanita, namun gangguan tersebut selalu didiamkan kerana khuatir berdepan dengan tindakan yang lebih serius.

“Perkara ini terpaksa diharungi kerana pelakunya adalah majikan atau mereka yang berpangkat di tempat kerja.

“Nation of Women (NOW) berharap, dengan adanya Akta Gangguan Seksual ini nanti, gangguan seksual tidak akan dilihat hanya di tempat kerja sahaja, tetapi di lokasi-lokasi lain seperti ruang awam, tempat persendirian dan lain-lain,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, maksud gangguan seksual juga mesti meliputi semua bentuk gangguan, termasuk gangguan secara psikologi, penggunaan kata-kata, gambar atau video, gerak laku dan tingkah laku.

Perlaksanaan Akta Gangguan Seksual ini juga menurutnya perlu memastikan pengadu kes mendapat pembelaan dengan segera, tidak membebankan dari segi kos dan melindungi privasi pengadu.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun telah memberitahu bahawa draf RUU tersebut kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Penguam Negara.

Ia dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here