Pengantin baru makan beradab di KFC

0
1

SELESAI majlis akad nikah, pasangan pengantin baharu dari Seri Iskandar, Perak ‘makan beradab’ di sebuah restoran makanan segera, tidak seperti kelaziman yang dilakukan oleh pasangan pengantin lain.

Ia berikutan larangan untuk mengadakan majlis kenduri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, dalam masa yang sama kerajaan membenarkan rakyat di negara ini untuk makan di restoran.

Pasangan pengantin yang bernikah pada Khamis lalu, yang dikenali sebagai Dyana Amirah dan suaminya, Amree Mazlan telah membuat kelainan secara tak langsung memberi idea kepada orang lain yang bakal mendirikan rumah tangga.

Menerusi hantaran foto di Facebook Angah Photog yang juga merupakan jurugambar bagi pasangan berkenaan, memaparkan mereka bersama beberapa ahli keluarga yang lain menjamu selera di KFC mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Rata-rata maklum balas di laman sosial berkenaan, mahu mengikut cara mereka dan mengatakan idea makan beradab di KFC itu menjimatkan.

Antaranya, Mimi Hasan mencadangkan kepada bakal suaminya, Firdaus Mikael untuk buat seperti itu.

“Macam ini nak tak? tak payah dah kenduri lepas raya tu. kita ‘save’ ja mcm ni. duit tu boleh upah untuk ‘photoshoot’,” katanya.

Manakala, Nursyifaa Rusli berkata, cara pasangan itu mudah dan jimat dan kemungkinan akan melakukannya juga.

“Farhan Ramli (bakal suami) mudah dan jimat,” katanya.

Sementara itu, pengantin perempuan, Dyana menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT serta berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan mereka yang turut serta membantu menjayakan majlis pernikahan ini.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah akhirnya kami disatukan dengan ikatan sah ! Hanya dengan sekali lafaz kami menjadi pasangan suami isteri

“Majlis nikah yg serba ringkas dan sangat dipermudahkan. Terima kasih mama papa, family dan yang terlibat dalam majlis kami .

“Terima kasih juga pada semua yang mendoakan. Semoga Allah merahmati dan berkati kita semua. Allahuma Amin,” katanya menerusi Facebook.

Dalam masa sama, dia dan suaminya memohon maaf kerana tidak dapat menjemput sahabat-sahabat yang lain.

Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan majlis bersanding dan kenduri akan diberitahu kemudian.

“Doakan semoga rumah tangga kami penuh dengan sakinah mawaddah. Doakan saya jadi Isteri solehah dan bercinta hingga ke syurga. In Sha Allah , Aminnn,” katanya. -Malaysiapost

FOTO KREDIT: ANGAH PHOTOG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here