Platform Sugarbook.com suburkan pelacuran – Ahmad Amzad

0
1

LAMAN web dan aplikasi Sugarbook.com perlu disekat segera kerana dilihat menjadi platform bagi aktiviti persundalan siber di negara ini. 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata tindakan dan siasatan perlu dilakukan terhadap pengasas platform itu bagi menghentikan operasinya yang jelas melanggar undang-undang. 

“Pengasas Sugarbook.com adalah Darren Chan, bermastautin di Malaysia, menjalankan perniagaan atas talian yang menjadi platform untuk pelacuran. 

“Perniagaan atas talian ini mendapat pelaburan daripada pelabur Hong Kong, seperti yang disebut dalam artikel temuramah pengasas Sugarbook tersebut dan pembangunan aplikasi dipercayai dijalankan dari Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Menurutnya, aplikasi itu digunakan pengguna dari Malaysia, Hong Kong, Taiwan dan lain-lain negara, namun berdasarkan laporan media, Malaysia menjadi ‘sarang’ kepada 42,500 ‘sugar daddy’, ketiga paling tinggi di Asia.

“Oleh itu, diharap siasatan dapat dijalankan bersabit dua akta iaitu Akta Komunikasi Multimedia 1998 – seksyen 211 dan Akta Kanun Keseksaan (Penal Code) Seksyen 372, 372A, 372B. 

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini menjalankan langkah proaktif untuk menyekat laman pornografi dan diharap tindakan sama dapat diambil dengan kadar segera, iaitu menyekat domain Sugarbook.com. 

“Namun mereka mungkin akan mendaftar atas nama domain lain untuk terus dapat dicapai oleh pengguna Malaysia. Oleh itu, SKMM diharap dapat terus memantau dan menyekat lain-lain domain yang bakal digunakan untuk membolosi sekatan di semua laluan pintu masuk (gateway) internet Malaysia,” katanya. 

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, berkata berdasarkan kes sebelum ini pada 2018, mereka yang terlibat menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan yang dijalankan melalui aplikasi WeChat telah dihukum penjara dan menerima sebatan bersabit Akta Kanun Keseksaan Seksyen 372(1) dan 372A(1).

“Oleh itu, diharap siasatan menyeluruh, sekatan domain dan tindakan undang-undang dapat diambil untuk menghentikan operasi ini yang jelas melanggar undang-undang negara. 

“Adalah juga diharap forensik komputer dapat dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat Sugardaddy dari pangkalan data (database) mereka agar tindakan undang-undang dapat diambil, kepada pelanggan yang menggunakan aplikasi ini untuk khidmat pelacuran,” tegasnya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here