DEWAN Muslimat PAS Bandar Tun Razak (DMPBTR) membuat laporan polis terhadap syarikat aplikasi Sugarbook dan pengasasnya, Darren Chan.
Laporan dibuat di Balai Polis Salak Selatan di Kuala Lumpur semalam, kerana syarikat tersebut didakwa mempromosi aktiviti maksiat, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Ketua DMPBTR, Dr Rosni Adam berkata kewujudan aplikasi itu amat dikesali kerana ia melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi dan mahasiswa pelajar Melayu Islam.
“Sepatutnya sebagai mahasiswa yang berakal dan cerdik pandai, mereka tidak akan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti ini.
“Juga sebagai seorang Islam sudah semestinya memahami hukum perbuatan mendekati zina seperti terkandung di dalam Al Quran dan hadis.
“Justeru, DMPBTR mendesak agar aplikasi ini diharamkan dan pengasas syarikat Sugarbook, Darren Chan disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan portal Berita PAS hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan sedang memantau dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan itu.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu mengakui dakwaan berlaku peningkatan jumlah mahasiswa yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu amat mendukacitakan.
“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya sudah sebut bahawa kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terbabit termasuk menggunakan aplikasi itu.
“Aplikasi tersebut perlu dihalang daripada digunakan di negara ini kerana boleh mendorong rakyat untuk melakukan perkara yang tidak betul dan melanggar undang-undang menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggu (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy.
Katanya, berdasarkan rekod, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid-19 masih lagi menular di seluruh dunia. -Malaysiapost
.
Foto: Berita PAS
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/mustahil-45-peratus-pelajar-sunway-university-terbabit-sugar-baby-kpt/

