HANYA dalam tempoh beberapa rakyat Malaysia yang prihatin berjaya mengumpul dana mencecah RM73,000 bagi membantu seorang remaja lelaki yang mengalami ketumbuhan tulang belakang.
Sumbangan orang ramai itu bagi membolehkan adik Mohammad Haikhal Ali Hussin, 13, menjalani pembedahan yang dijadualkan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2, Kita Kinabalu, Sabah.
Lebih mengharukan apabila jumlah dikumpul itu melebihi daripada kos RM60,000 yang diperlukan.
Menurut ibu remaja terbabit, Widyaayu Hamdin, 33, dia sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dengan anaknya.
“Hanya tuhan yang dapat membalas sumbangan anda semua.
“Saya amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap Haikhal.
“Begitu juga dengan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan anak saya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurut Widyaayu, dia terkejut dan dalam masa sama bersyukur apabila mendapati sumbangan kewangan untuk menampung pembedahan anaknya sudah mencukupi hari ini.
“Pagi tadi saya memeriksa akaun bank dan terkejut apabila melihat jumlah mencecah RM73,000. Jumlah itu sudah melebihi daripada RM60,000 yang diperlukan untuk pembedahan Mohammad Haikhal,” katanya.
Widyaayu berkata, anak sulungnya itu kini menunggu pihak HQE 2 memberi tarikh untuk menjalani pembedahan.
Mohammad Haikhal dikesan mengalami ketumbuhan tulang belakang atau Intradural-Extramedullary tumor itu tahun lalu dan penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu bergerak.
Penderitaan remaja itu kemudian disiarkan media Jumaat lalu susulan memerlukan dana sebanyak RM60,000 bagi membiayai pembedahan.
Akibat penyakit yang dihidapinya, Mohammad Haikhal bukan sahaja tidak dapat berjalan dan terpaksa memakai kerusi roda untuk bergerak, malah terpaksa tidur mencangkung disebabkan sakit di belakangnya.
Dia dijangka menjalani pembedahan di HQE 2 pada 3 Mac depan. -Malaysiapost

