Mustahil 45 peratus pelajar Sunway University terbabit ‘sugar baby’ – KPT

0
2

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan ‘sugar baby’ seperti dilaporkan media.

Bagaimanapun, siasatan awal kementerian mengenai pendedahan itu mendapati berlaku keraguan terhadap data yang dikemukakan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husain Omar, berkata pihak KPT telah menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang telah disiarkan dalam beberapa media.

“Dalam hal ini, pihak universiti menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan. Antaranya, Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai sugar baby.

“Ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja.

“Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada 10 Februari lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga telah membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media.

“Walau bagaimanapun, pihak KPT bersama-sama dengan pihak universiti akan menangani isu ini dengan lebih berkesan.

“Pihak universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata, KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan hal itu.

“Ia agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dapat dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia terjaga.

Kelmarin sebuah aplikasi temujanji ‘sugar daddy’ terbesar Asia, ‘Sugarbook’ mendedahkan lebih 400,000 keahlian; 220,000 daripadanya ‘sugar baby’, 180,000 ‘sugar daddy’ dan 6,000 ‘sugar mummy’ di Malaysia.

Aplikasi berkenaan menyatakan hampir semua ‘sugar baby’ dari Malaysia terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) terkenal sekitar Lembah Klang.

Antara alasan mahasiswa menjadi ‘sugar baby’ termasuk hutang pinjaman pelajaran, kos sara hidup tinggi, kenaikan yuran tuisyen dan peluang rangkaian antara sebab mereka mencari ‘sugar daddy’. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/kerajaan-mesti-bendung-gejala-sugar-daddy-selamatkan-mahasiswa-kita-zahid/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here