Pendaftaran BPR dilanjut sehingga 25 Februari

0
1

KERAJAAN melanjutkan tarikh pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga 25 Februari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tarikh itu dilanjutkan bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak, serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

“Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40 serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu (newly vulnerable groups) yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tarikh pendaftaran baharu dan kemaskini BPR dibuka dari 15 Januari 2021 hingga esok, 15 Februari.

Tengku Zafrul berkata, dengan adanya proses pendaftaran baharu dan kemaskini itu, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk disemak semula.

Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemaskini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

“Pembayaran Fasa 1 BPR kepada penerima akan dipercepatkan kepada penghujung Februari 2021, seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lalu,” katanya sambil menambah bayaran Fasa 2 BPR dijangka dibuat awal bulan Mei 2021.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu, https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here