Kerajaan pantau pengguna Sugarbook

0
1

AWAS pengguna aplikasi Sugarbook, anda sedang dipantau.

Amaran itu diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menyatakan kerajaan sedang memantau dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dengan kegiatan itu.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu mengakui dakwaan berlaku peningkatan jumlah mahasiswa yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu amat mendukacitakan.

“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya sudah sebut bahawa kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terbabit termasuk menggunakan aplikasi itu.

“Aplikasi tersebut perlu dihalang daripada digunakan di negara ini kerana boleh mendorong rakyat untuk melakukan perkara yang tidak betul dan melanggar undang-undang menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, perkara itu masih disiasat dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak perkara tersebut terus berlaku.

Sebelum ini media melaporkan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggu (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy.

Katanya, berdasarkan rekod, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid-19 masih lagi menular di seluruh dunia. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/mustahil-45-peratus-pelajar-sunway-university-terbabit-sugar-baby-kpt/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here