VAKSIN Covid-19 yang dihasilkan oleh sains bukan agenda illuminati yang mahu menubuhkan New World Order, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, masyarakat mesti yakin dengan sains dan bukannya teori konspirasi tular dalam group WhatsApp keluarga atau taman perumahan yang memetik sumber palsu.
Kata Ahli Parlimen Rembau itu, vaksin Covid-19 tidak akan mengubah asid deoksiribonukleik (DNA) penerima dan tidak mengandungi microcip untuk mengambil alih pemikiran manusia.
“Saya hendak tegaskan sekali lagi bahawa vaksin yang diperoleh Malaysia adalah selamat dan berkesan. Tiada bukti vaksin ini memudaratkan nyawa atau kesihatan mereka.
“Ia telah diuji kepada puluhan ribu penerima sebelum diluluskan dan jutaan manusia di seluruh dunia sudah mula menerima suntikan mereka,” katanya menerusi kenyataan di laman web www.khairykj.com hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, keyakinan terhadap sains dan keberkesanan vaksin Covid-19 akan membolehkan lebih ramai orang menerima suntikan mereka.
“Apabila ramai menerima suntikan vaksin ini, bilangan jangkitan akan mula menurun sekali gus mengurangkan bilangan kematian dan pesakit yang dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi,” katanya.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, penurunan jangkitan Covid-19 akan membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial dijalankan tanpa sekatan yang terlalu ketat.
“Inilah kaitan langsung program imunisasi yang berjaya kepada pemulihan ekonomi. Ia sangat berkait rapat,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

