PANGGUNG Bandaraya di Dataran Merdeka nyaris terbakar dalam kejadian kebakaran kecil di bahagian luar bangunan itu pada pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, kebakaran membabitkan sebuah meja yang diletakkan di koridor bangunan untuk kegunaan pasukan pengawal keselamatan.
Komander Operasi PBK II, Mohd Azam Alip berkata, api tersebut telah merebak ke bahagian tingkap bangunan yang terbakar 100 peratus.
Kebakaran dari meja di koridor bangunan digunakan oleh pengawal keselamatan.
“Kebakaran telah dipadamkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pengawal keselamatan dan orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja overhaul untuk memastikan tiada lagi api merebak, “katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran dipadam sepenuhnya pada jam 9.48 pagi dan tiada mangsa yang terlibat.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya
Sementara itu berdasarkan laporan Astro Awani, Mohd Azam berkata kejadian berkemungkinan kerana api yang dihidupkan untuk menghalau nyamuk.
“Kemungkinan berpunca dari api yang dihidupkan oleh petugas untuk halau nyamuk tetapi tidak dipadamkan sepenuhnya setelah meninggalkan tempat untuk rondaan,” katanya. -Malaysiapost

