“KAMI mohon maaf,” kata penyanyi Siti Sarah susulan insiden dirinya dan suami, Shuib termasuk tiga individu lain melanggar prosedur operasi standard (SOP) di sebuah restoran di Lipis, Pahang semalam,

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, beliau juga mengakui tindakan kompaun yang dikenakan juga satu pengajaran besar.
“Kami mohon maaf. Ini pengajaran untuk saya dan diharap menjadi pengajaran juga untuk orang lain supaya sentiasa ikut SOP,” katanya.
Menerusi hantaran yang sama, Sarah mengakui perjalanannya ke Kelantan untuk menguruskan pembukaan dua cawangan baharu Bubblebee di Kubang Kerian dan Kota Bahru telah berdepan dengan pelbagai dugaan.
“Banyak dugaan sebelum kami sampai ke Kelantan untuk pembukaan Bubblebee di Kubang Kerian dan Kota Bharu selama 12 jam perjalanan.
“Bukan datang untuk bercuti. Kami dah dapat kebenaran rentas negeri. Mulanya ada petugas terlibat dengan kemalangan. Kereta mereka terbabas naik atas bukit akibat jalan licin.
“Berderau darah saya apabila dapat berita terbabit. Alhamdulillah syukur sangat kerana hanya kereta yang rosak, mereka (kakitangan) tidak alami kecederaan serius,” katanya.
Selepas menguruskan kemalangan tersebut, Sarah serta beberapa individu lain termasuk suaminya telah singgah makan di sebuah restoran di tepi jalan sebelum mereka dikompaun kerana melanggar SOP.
“Dugaan memang banyak tetapi semuanya tidak patahkan semangat kami. Apa yang penting, kami jadikan kejadian itu (dikompaun) sebagai pengajaran dan sama-sama kita ikut semua saranan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua selebriti tanah air iaitu Shuib dan Siti Sarah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 seorang selepas didapati melanggar SOP ketika menjamu selera di sebuah restoran.
Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, pasangan itu dan dua yang lain dikenakan kompaun kerana tiada penjarakan fizikal semasa makan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/pkp-shuib-siti-sarah-kena-kompaun-rm1000-langgar-sop/

